Wahdat Al-Wujud dan Kewalian Menurut Said Nursi Menerusi Karyanya Risale-i Nur
Muhammad Faiz Khalid
Ibnor Azli Ibrahim
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Abstrak
Wahdat al-Wujud dan kewalian adalah di antara beberapa isu penting yang berkaitan dengan tasawuf dan tarekat. Ketika Islam semakin tersebar ke seluruh penjuru dunia cabaran terhadap kemurnian ajaran Islam pun semakin besar ketika ia bercampur dengan budaya setempat dan semakin dangkalnya pemahaman umat terhadap Islam. Dalam suasana seperti ini muncul Bediuzzaman Said Nursi (1877-1960M) seorang mujaddid (pembaharu) dari Turki yang berusaha membetulkan pemahaman terhadap isu tersebut dengan mengajak umat Islam berpedoman kepada al Quran dan hadis dalam segala amalan, keyakinan dan ibadah harian mereka. Kajian ini menjelaskan pandangan Said Nursi terhadap wahdat al Wujud dan kewalian sesuai dengan panduan syariah Islam menerusi karya agungnya Risale-i Nur. Kajian memaparkan pendekatan Said Nursi yang moderat dalam membetulkan pemahaman terhadap konsep wahdat al Wujud dan kewalian secara ilmiah dan penuh hikmah. Kajian ini menggunakan kaedah kualitatif menerusi instrumen kajian kepustakaan terhadap Risale-i Nur dan juga kajian perbandingan dengan pemikiran ulama tasawuf lain sama ada ulama terdahulu mahupun ulama semasa. Hasil kajian ini mendapati bahawa Said Nursi menilai fahaman wahdat al Wujud dan kewalian secara seimbang disertai dengan kritikan yang membina. Beliau tidak menyalahkan atau mendakwanya sebagai satu ajaran songsang atau pemikiran yang menyimpang sebaliknya beliau memberikan konsep dan pemahaman yang betul sesuai dengan al- Quran dan Sunnah Rasulullah SAW.
Kata kunci: Wahdat al-Wujud, kewalian, tasawuf, tarekat, Said Nursi