Makalah

Perbezaan Karamah dan Ikram Ilahi Menurut Pandangan Bediuzzaman Said Nursi

Muhammad Faiz
Ibnor Azli Ibrahim

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Abstrak

Perbahasan tentang karamah wali Allah merupakan tajuk bahasan yang biasa dijumpai dalam kajian ilmu tasawuf. Menurut para ulama tasawuf pengertian karamah ialah perkara luar biasa (khariq li al-‘adah) yang berlaku kepada diri seorang hamba Allah SWT yang salih sebagai bentuk pertolongan dan kemuliaan ke atasnya. Akan tetapi jika perkara-perkara luar biasa itu berlaku pada diri seseorang yang ingkar dan tidak menunaikan aturan syariat maka sebaliknya hal itu merupakan kehinaan dan dugaan yang diberikan Allah SWT atau yang disebut dengan istilah istidraj. Namun demikian para ulama berselisih pendapat dalam menerima ataupun menolak berlakunya karamah. Oleh itu kajian ini akan membincangkan pandangan Said Nursi terhadap karamah dan perbezaannya dengan ikram Ilahi serta menganalisis sumber perbezaan pandangan di antara para ulama tersebut. Metode kajian berupa analisis kepustakaan terhadap penulisan-penulisan Nursi yang terangkum dalam karyanya Risale-i Nur yang membahas isu-isu tasawuf dan tarekat serta kajian perbandingan dengan karya ulama tasawuf lainnya. Kajian ini mendapati bahawa majoriti ulama Ahli Sunnah menerima berlakunya karamah pada diri seorang hamba Allah SWT yang siddiq dan taat terhadap syariat. Sedangkan ikram Ilahi menurut Said Nursi merupakan jenis karamah yang lebih halus dan mulia yang dianugerahkan kepada hamba terpilih (waliyullah) dalam usaha menegakkan kebenaran serta tiada kewajipan baginya untuk menyembunyikan kelebihan itu dari hadapan orang lain. Dengan demikian kajian ini penting bagi menjelaskan permasalahan yang berkaitan dengan karamah wali Allah yang masih ramai masyarakat awam belum mengetahui hakikatnya.

Kata kunci: karamah, istidraj, Nursi, tasawuf, tarekat.